PPSMI: DARI PANDANGAN SEORANG GURU-BHG 2. Oleh BidayuhBukar.
Saya tertarik dengan satu pendapat yang dinyatakan oleh pihak-pihak yang menentang PPSMI di mana mereka mengatakan bahawa penguasaan BI boleh dilakukan dengan cara-cara lain dan bukannya melalui PPSMI. Bagi saya, sebarang usaha untuk memperbaiki penguasaan BI boleh diterima asalkan cara perlaksanaannya betul. Perlaksanaan PPSMI bagi saya juga bukan bertujuan untuk menolak BM dan mengutamakan BI. Tidak sepatutnya timbul persoalan pinggir-meminggir bahasa yang digunakan untuk menyampaikan ilmu sains dan matematik itu. Yang pentingnya ialah ilmu pengetahuan yang ingin disampaikan kepada anak-anak didik.
Jika disebut soal pinggir-meminggir bahasa, umum mungkin belum begitu sedar bahawa BI memang telah lama ‘dipinggirkan’ sejak BM dijadikan bahasa pengantar di sekolah. Cuba kaji dan fahami analisis waktu P&P yang telah dilaksanakan di sekolah-sekolah selama ini.
Sekolah Kebangsaan.
BM Tahap I – 12 waktu seminggu atau 360 minit (6 jam)
BM Tahap II – 10 waktu seminggu atau 300 minit (5 jam)
(Purata 1 jam P&P setiap hari. Ini tidak termasuk semua subjek lain yang diajar dalam BM)
BI Tahap I – 8 waktu seminggu atau 240 minit. (4 jam)
BI Tahap II – 7 waktu seminggu atau 210 minit (3 ½ jam)
(Purata 30 minit P&P setiap hari)
Sekolah Menengah Kebangsaan.
BI – 5 jam seminggu sahaja.
Berdasarkan analisis ringkas di atas, kita boleh melihat dengan jelas bahawa BM memang menguasai hampir semua perkara di sekolah baik dari segi waktu P&P itu sendiri, komunikasi, pentadbiran dan sebagainya kecuali subjek BI. Apa tidaknya...BM adalah bahasa rasmi dan bahasa pengantar. Disebabkan oleh betapa dominannya BM, maka ketidakseimbangan mula wujud di dalam penguasaan kedua-dua bahasa itu. Subjek BI telah menjadi “killer subject”, yang sering menjatuhkan prestasi dan peratus kelulusan pelajar-pelajar di dalam peperiksaan terutama sekali pelajar-pelajar di kawasan luar bandar dan pedalaman. 14 tahun pengalaman bertugas di kedua-dua kawasan tersebut sudah cukup untuk saya memahami situasai tidak seimbang itu.
Setelah berbagai-bagai kaedah dan pendekatan yang dilakukan oleh pihak kementerian, BI masih menjadi “killer subject”. Keadaan itu telah mewujudkan situasi saling menyalahkan di antara berbagai pihak. Guru-guru sendiri sering dikritik dan itu sudah pastinya memberi tekanan kepada guru-guru. Bukannya guru-guru tidak mahu berusaha dengan lebih tetapi guru-guru juga manusia biasa yang mempunyai had kemampuan masing-masing. Saya sendiri paling sakit hati apabila mendengar kritikan-kritikan pedas daripada pihak-pihak yang bercakap seolah-olah mereka itu lebih tahu, lebih bijak dan pandai. Kalau benar-benar tahu, bijak dan pandai, jangan hanya bercakap sahaja. Jangan jadi tong kosong. Daftar atau mohon jadi guru. Turun ke padang bersama kami. Mari sama-sama naik perahu meredah jeram, berjalan kaki berbatu-batu untuk ke sekolah. Pada saya, ijazah atau PhD yang dimiliki oleh pengkritik-pengkritik seperti itu tidak bernilai walau satu sen pun kalau mereka hanya tahu bercakap sahaja.
Berbalik kepada isu ketidakseimbangan penguasaan kedua-dua bahasa itu, mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya tentang ketidakseimbangan itu dengan memberi alasan bahawa di zaman digital yang serba maju ini, berbagai kaedah dan cara yang sesuai dan berkesan boleh dilakukan oleh guru-guru serta pelajar untuk memperbaiki penguasaan BI. Ya, itu betul tetapi tidak sepenuhnya betul. Umum boleh melihat sendiri perbezaan yang sangat ketara dari segi kemudahan-kemudahan untuk belajar di antara sekolah-sekolah di kawasan bandar dan di kawasan luar bandar serta pedalaman. Penguasaan BI sangat lemah di kalangan pelajar-pelajar luar bandar dan pedalaman kerana waktu mereka belajar BI hanya di sekolah sahaja, 3-5 jam seminggu! Sebenarnya sekolah mereka ialah satu-satunya tempat di mana mereka belajar BI. Di kawasan bandar pula situasinya tidak perlu saya huraikan kerana umum sendiri lebih tahu.
Berdasarkan kepada pengalaman bertugas saya di kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman juga, masih terdapat masalah utama di mana pelajar-pelajar di kawasan tersebut masih cenderung menggunakan bahasa ibunda mereka di sekolah untuk berkomunikasi sesama mereka malah dengan guru-guru mereka. Ini lebih jelas dilihat di sekolah-sekolah yang majoriti pelajar-pelajarnya adalah dari kaum yang sama. Situasi di atas secara tidak langsung telah menjadikan BI malah BM sendiri menjadi bahasa kedua dan ketiga. Namun demikian, penggunaan BM yang lebih dominan dalam situasi formal dan tidak formal menjadikan penguasaan bahasa itu lebih baik berbanding BI yang kekal ‘terpinggir’.
Saya memang berasa lega apabila PPSMI diperkenalkan. Ini kerana perlaksanaannya akan mewujudkan suatu keseimbangan dari segi waktu P&P. Ketika belajar sains atau matematik, pelajar pada yang sama akan mempelajari BI walaupun bukan secara langsung. Setelah 6 tahun perlaksanaannya saya bukan sahaja melihat perubahan positif dalam penguasaan BI di kalangan pelajar sendiri malah perubahan itu juga boleh di lihat di kalangan guru-guru sendiri. Perubahan-perubahan positif yang saya sebutkan itu mungkin dilihat sangat kecil dan tidak begitu bermakna oleh sesetengah pihak, apatah lagi bagi mereka yang hanya tahu mengkritik. Namun bagi kami, guru-guru yang telah bertungkus-lumus menjalankan tugas dan kewajipan kami, sebarang perubahan positif yang terjadi adalah sangat bernilai tanpa mengira berapa saiz perubahan-perubahan tersebut.
Perubahan-perubahan atau kejayaan yang bagaimana lagi agaknya yang dimahukan oleh pihak-pihak yang tidak berpuas hati ini? Secepat mana atau sebesar apa kejayaan yang mereka inginkan daripada anak-anak yang baru sahaja berusia setahun jagung itu? Setakat ini, generasi pertama PPSMI baru sahaja belajar selama 7 tahun. Berapa banyaklah yang mereka dapat selama 7 tahun itu. Pihak-pihak yang tidak berpuas-hati terhadap PPSMI ini seolah-olah sengaja tidak mahu memahami bahawa kejayaan atau kegagalan satu-satu proses P&P dipengaruhi oleh begitu banyak faktor lain selain daripada faktor kelemahan penguasaan bahasa. Apabila anda hanya mempunyai waktu 30 minit sahaja untuk mengajar, di mana 5 minit adalah untuk set induksi, 10 minit untuk pengenalan serta perkembangan tajuk pengajaran, 10 minit untuk kerja bertulis, 5 minit untuk penutup, berapa banyakkah yang pelajar-pelajar secara majoritinya kuasai untuk hari itu bagi satu-satu subjek yang diajar?
Saya memang setuju dengan penggunaan jadual waktu anjal, dimana waktu P&P digabungkan 2 hingga 3 waktu bagi setiap sesi. Namun ianya mempunyai kelemahan juga. Saya ambil contoh subjek BI. Jika digabung waktu P&P nya, akan ada 1 atau 2 hari dalam seminggu yang tidak akan mempunyai waktu P&P untuk BI. Itu satu kaedah yang kurang sesuai kerana proses P&P bagi setiap subjek (terutama sekali subjek teras) harus ada pada setiap hari dan berterusan. Menambah bilangan waktu P&P bagi subjek BI pula sukar untuk dilaksanakan kerana ia akan melibatkan pertambahan tempoh waktu persekolahan setiap hari. Oleh yang demikian, saya berpendapat bahawa satu cara yang saya fikirkan sesuai ialah menggunakan waktu P&P lain untuk belajar BI meskipun bukan secara langsung. Mungkin juga ada pihak yang akan bertanya, mengapa mesti menggunakan waktu P&P Sains dan Matematik? Mengapa tidak subjek-subjek lain?
Perhatikan perincian waktu P&P untuk semua subjek yang diajar di sekolah rendah dalam seminggu di bawah ini. Mungkin anda akan lebih fahami lagi setelah membaca ulasan saya.
Science -Thp 1: 3 waktu. Thp 2: 5 waktu
Mathematics - Thp 1: 7 waktu. Thp 2: 7 waktu
English Language - Thp 1: 8 waktu. Thp 2: 8 waktu
Bahasa Melayu - Thp 1: 12 waktu. Thp 2: 10 waktu
Pend. Seni Visual - Thp 1: 2 waktu. Thp 2: 2 waktu
Pendidikan Moral- Thp 1: 6 waktu. Thp 2: 6 waktu
Kemahiran Hidup - Tahap 2 sahaja: 2 waktu
Pend. Jasmani & Kesihatan - Thp 1: 3 waktu. Thp 2: 2 waktu
Kajian Tempatan - Tahap 2 sahaja: 2 waktu
Sivik & Kenegaraan - Thp 1: 2 waktu. Thp 2: 2 waktu
Pendidikan Muzik- Thp 1: 2 waktu. Thp 2: 2 waktu
Nota: 1 waktu = 30 minit.
Analisis:
Jumlah waktu P&P bagi BM dan semua subjek yang menggunakan BM sebagai bahasa pengantar mengikut tahap adalah seperti berikut;
Tahap I (Tahun 1-Tahun 3) : 27 waktu seminggu
Tahap II (Tahun 4-Tahun 6) : 28 waktu seminggu
Jumlah waktu P&P bagi BI dan semua subjek yang menggunakan BI sebagai bahasa pengantar mengikut tahap adalah seperti berikut;
Tahap I (Tahun 1-Tahun 3) : 18 waktu seminggu
Tahap II (Tahun 4-Tahun 6) : 19 waktu seminggu
Berdasarkan jadual di atas, selain daripada waktu P&P bagi Pendidikan Moral, hanya Sains & Matematik sahaja yang mempunyai jumlah waktu yang sesuai. Waktu P&P bagi Pendidikan Moral tidak sesuai kerana perlaksanaan P&P subjek tersebut berbeza daripada subjek-subjek lain. Di sekolah-sekolah yang mempunyai pelajar-pelajar muslim, pelajar-pelajar tersebut akan menghadiri kelas agama sementara pelajar-pelajar lain akan mengikuti kelas Pend. Moral. Maksudnya, pelajar-pelajar akan berpecah kepada dua kumpulan. Itulah sebabnya waktu Pend. Moral tidak digunakan. Saya yakin bahawa bukan sekadar kepentingan subjek Sains dan Matematik sebagai subjek teras sahaja yang dipertimbangkan dalam perlaksanaan PPSMI tetapi pertimbangan juga dibuat berdasarkan jumlah waktu P&P bagi setiap subjek.
Kemudian, lihat pula analisis jumlah waktu P&P di atas. Di situ sahaja kita boleh melihat betapa jauhnya perbezaan peruntukan waktu P&P di antara BM dan BI. Meskipun jika waktu BI, Sains dan Matematik digabungkan, jumlah waktu P&Pnya tetap jauh kurang.
Kepada pihak-pihak yang tidak faham atau sengaja tidak mahu faham apa yang sebenarnya berlaku dan dilaksanakan di sekolah-sekolah, lebih baik diam dan tutup mulut. Kalau mereka merasakan bahawa mereka lebih tahu dan pandai, datanglah ke sekolah, dan ambil-alih tugas guru. Kalau sanggup, ambil-alih tugas guru-guru yang berkhidmat di pedalaman Sabah & Sarawak tu. Di sana anda bukan sahaja akan jadi guru tetapi anda juga akan jadi kerani, tukang kebun, tukang paip, drebar perahu, warden, ‘ibubapa’ dan entah apa lagi! Saya mengaku bahawa saya sendiri pun bukannya lebih tahu dan lebih bijak tetapi setidak-tidaknya saya berada bersama pihak-pihak yang berada di lapangan, yang berusaha bekerja bertungkus-lumus di tempat-tempat yang tidak semua orang ingin pergi untuk berkhidmat.
Monday, March 23, 2009
PPSMI: DARI PANDANGAN SEORANG GURU-BHG 1.
PPSMI: DARI PANDANGAN SEORANG GURU-BHG 1. Oleh BidayuhBukar.
Dalam bahagian pertama posting ini saya akan mengutarakan pandangan saya sebagai sebagai seorang guru yang sememangnya berada di sekolah dan bersama dengan murid-murid setiap hari persekolahan. Pandangan yang saya utarakan akan lebih banyak berdasarkan kepada pengalaman bertugas dan situasi sebenar di sekolah-sekolah di mana saya pernah berkhidmat.
Saya tertarik kepada beberapa laporan yang pernah saya baca di internet tentang kajian-kajian yang telah dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan PPSMI. Ingin sekali saya bertanya bagaimanakah kajian itu dilakukan? Berapa tahunkah kajian itu telah dijalankan? Siapakah kumpulan sasarannya? Apakah indikator-indikator yang digunakan untuk menilai atau mengukur hasil kajian-kajian tersebut? Siapakah yang melakukan kajian-kajian tersebut dan di mana semua kajian itu dilakukan?
Saya memang yakin bahawa kuantiti dan angka tetap menjadi sebahagian daripada indikator-indikator yang digunakan untuk menilai atau mengukur PPSMI dalam kajian-kajian itu. Sekali lagi saya ingin bertanya, wajarkah kita semua mengukur prestasi anak-anak kita hanya dengan angka dan huruf? Adakah “A” itu benar-benar dapat menjamin masa depan anak-anak kita? Jika begitu, mengapa kita ada beribu-ribu graduan universiti yang menganggur? Adakah “D” yang diperolehi oleh anak-anak kita dalam PPSMI itu menunjukkan bahawa anak-anak kita telah gagal dalam hidupnya?
Berbalik kepada isu graduan-graduan yang menganggur itu, saya juga ingin bertanya; Mereka itu produk-produk dari sistem yang mana satu? Sistem yang bermula 30 tahun dahulu ataupun selepas PPSMI? Setahu saya, generasi pertama PPSMI (yang bermula dari Tahun 1) baru sahaja masuk ke Tingkatan 1. Saya sendiri adalah generasi pertama guru PPSMI. Jika diukur dan dibandingkan dengan tempoh perlaksanaan, “KEGAGALAN” yang manakah lebih buruk? 30 tahun atau 6 tahun? Untuk pengetahuan para pengkaji tersebut juga, generasi pertama PPSMI di sekolah saya sekarang telah berjaya membawa sekolah kami keluar daripada kategori SPR(Sekolah Pencapaian Rendah). Apakah itu? Kegagalan?? Peratusannya mungkin sedikit pada anggapan sesetengah pihak tetapi bagi kami, guru-guru yang telah bertungkus-lumus, guru-guru PPSMI yang dianggap ‘tidak berkualiti’ oleh sesetengah pihak, kejayaan itu sangat besar nilai dan ertinya.
Kejayaan itu adalah usaha kami dan saya tidak peduli apa yang orang lain kata tentangnya. Setidak-tidaknya ia menunjukkan bahawa kami telah berusaha sedaya upaya kami, tidak seperti mereka-mereka yang hanya tahu mengkritik tetapi 30 tahun telah mengalami kegagalan! Saya lebih menghormati guru-guru yang ‘speaking England’ tersekat-sekat di dalam kelas tetapi telah berusaha sedaya upaya mereka, daripada mereka-mereka yang hanya tahu duduk bersidang dan mengkaji ‘feedback’ yang belum benar-benar pasti ada kebenaran dan kesahihannya. Ada tak data-data dari SK Long Busang di daerah Belaga, Sarawak? Atau SK Long Banga di Baram? Kalau tidak ada, jangan kata bahawa kajian telah dibuat di seluruh negara! Apa yang dimaksudkan dengan seluruh negara itu? Tanah Melayu? Sarawak atau Sabah? Tidak lama dulu saya juga ada membaca berita di Malaysiakini.com di mana GMP mendakwa bahawa PIBG seluruh negara membantah PPSMI. Bagaimana mereka tahu? Sekali lagi, bahagian seluruh negara mana yang dimaksudkan? Setahu saya, PIBG di sekolah saya sendiri tidak pernah menyatakan yang pendirian menentang PPSMI jadi dakwaan GMP itu tidak berasas sama sekali.
Pada pandangan saya juga, tidak ada satu pun sistem pendidikan di dunia ini yang boleh mendakwa ianya 100% sempurna. Kelemahan-kelemahan tetap ada di sana sini, baik dalam sistem itu sendiri mahupun para pelaksananya. Mungkin setelah 30 tahun, setelah keadaan dunia kita berubah secara begitu drastik sekali, kerajaan pemerintah melihat perlunya ada perubahan di dalam beberapa aspek dalam sistem pendidikan. Sistem pendidikan seperti juga P&P di dalam bilik darjah harus fleksibel, boleh berubah mengikut situasi. 30 tahun merupakan suatu tempoh yang cukup lama dan setelah tempoh itu kita telah melihat kelemahannya seperti kes pengangguran graduan-graduan “A”. Jika kita sudah nampak kelemahannya setelah begitu banyak usaha dilakukan untuk mencegah atau setidak-tidak mengurangkan kelemahan itu, mengapa tidak kita cuba menggunakan kaedah lain. Kita bukannya menukar sistem tetapi kaedahnya. Sering kali kita sebagai ibubapa mengeluh apabila anak-anak kita tidak berjaya mendapatkan peluang membina kerjaya. Kita juga tidak lari daripada turut menyalahkan kelemahan-kelemahan sistem pendidikan negara kita. Namun apabila sistem itu hendak diperbaiki, kaedah-kaedah serta pendekatan baru diperkenalkan, kita juga mengkritik semua itu kononnya ia tidak berkesan walaupun sistem itu belum pun benar-benar terbukti gagal.
Mungkin ada pihak-pihak yang beranggapan bahawa PPSMI perlu dimansuhkan sebelum keadaan anak-anak didik kita menjadi parah. Baru 6 tahun sudah mahu dianggap akan parah?? Bagaimana mereka tahu? Belum pun ada graduan PPSMI yang keluar dari universiti itu menganggur, mereka sudah ‘melabelkan’ anak-anak mereka dan kaedah yang digunakan oleh sistem itu gagal? Tempoh 30 tahun lalu yang telah mengeluarkan produk-produk “A” yang begitu ramai menganggur itu apa pula? Kecemerlangan sistem pendidikan kita? Ada juga pihak yang mengatakan bahawa majikan-majikan sekarang ramai yang tidak mahu memberi peluang pekerjaaan kepada para graduan ini. Namun, wajarkah kita menyalahkan mereka apabila para graduan ini tidak memenuhi kualiti-kualiti pekerja seperti yang diperlukan oleh majikan-majikan tersebut?
Saya memang simpati dengan nasib yang dialami oleh produk-produk “A” ini, yang menjadi mangsa kepada kelemahan kaedah yang digunakan oleh sistem pendidikan negara kita sebelum ini. Namun, kita tidak boleh menyalahkan sistem itu bulat-bulat. Sistem itu tidak sempurna sepenuhnya seperti yang saya nyatakan tadi. Sekarang kita sudah ada kaedah yang lain. Ianya berbeza dan memang sukar untuk dilakukan setelah sekian lama kita bergelumang dan terbiasa dengan kaedah lama. Namun kesukaran itu tidak harus dijadikan sebagai halangan yang benar-benar tidak boleh dilepasi. Isu tidak menguasai bahasa tidak harus dijadikan sebagai alasan untuk tidak mahu berusaha lebih untuk menguasai ilmu.
Sebagai ibubapa, kita sememangnya inginkan yang terbaik untuk anak-anak kita lebih-lebih lagi dalam soal pendidikan, soal mendapatkan ilmu pengetahuan yang akan membentuk masa depan mereka. Namun kita juga harus sedar bahawa tidak semua keinginan kita atau apa yang kita lakukan itu baik untuk anak kita. Apa-apa keputusan yang kita buat dan anggap baik pada hari ini tidak semestinya akan terus kekal baik dan sesuai untuk mereka di masa akan datang apabila kita sudah tiada lagi di dunia ini. Saya buat satu contoh; Jika ibubapa saya dahulu berkeras mahu saya bekerja dengan mereka di sawah, belajar menanam padi hanya dengan pengetahuan lama yang saya perolehi daripada mereka, saya mungkin akan kekal sebagai seorang petani yang dapat hasil cukup-cukup makan sahaja pada waktu ini, di ketika petani-petani lain mengaut hasil yang jauh lebih baik berkat daripada ilmu pengetahuan baru yang mereka dapat di sekolah atau tempat-tempat lain.
Cuba fahami contoh situasi ini; Daripada kita membeli kapalselam, mengapa tidak kita menghantar 10,000 atau 50,000 anak bangsa kita belajar ilmu kejuruteraan untuk membina kapalselam tidak kira di mana tempatnya? Jika mereka berjaya, kita bukan sahaja dapat membina satu kapalselam malah lebih daripada itu. Sampai bila petani-petani kita perlu berbelanja dan berharap kepada traktor-traktor yang dibeli dari negara-negara luar? Mengapa tidak anak-anak petani itu yang bina sendiri traktor mereka? Malaysia tidak akan mampu ke tahap itu? Mengapa tidak?
Tanyalah anak-anak muda yang sedang menimba ilmu di luar sana tentang impian mereka, cita-cita mereka. Saya tidak terkejut jika ada ramai yang berimpian untuk menjadi saintis roket, jurutera dan pembina kapalselam, kapal pengangkut pesawat dan sebagainya. Kita tidak harus memperkecilkan impian mereka hanya kerana keadaan kita yang tidak mampu ketika ini. Kita yang tidak mampu ke mana-mana dengan tahap ilmu pengetahuan kita sendiri yang rendah ini tidak harus membiarkan anak-anak kita menjadi seperti kita juga. Kan begitu?

Friday, March 20, 2009
Satu lagi bentuk pembaziran wang rakyat
Baru sebentar tadi saya menonton siaran berita RTM yang menyiarkan rancangan kerajaan untuk mengadakan latihan-latihan yang sesuai bagi graduan-graduan menganggur dan mereka akan diberi elaun sebanyak lebih kurang RM1000.00 setiap peserta. Woww!!! Elok lah tu. Boleh dapat duit free. Itu duit rakyat yang digunakan oleh kerajaan. Ingat tu baik-baik wahai para graduan.
Soalan-soalan saya yang perlukan jawapan dan difikirkan bersama;

- Mengapa begitu ramai graduan yang menganggur? Di mana silapnya?
- Wahai para graduan...mengapa pilih jurusan yang ijazahnya "tidak praktikal" di dunia pekerjaan? Kurangnya pilihan yang sesuai dengan kemampuan anda? Atau sekadar nak dapat ijazah? Di mana silapnya?
- Betul kah para graduan memilih sangat bila nak mohon pekerjaan? Entahlah.. mungkin betul, mungkin tidak. Mungkin ijazah anda sesuai dengan pekerjaan yang anda pohon tetapi anda tetap gagal bersaing dengan pemohon lain yang tidak punya ijazah. Mengapa itu berlaku? Di mana silapnya?
- Ada ijazah, gaji akan lebih besar.. Betul ke?
- Mengapa begitu ramai graduan yang tidak reti berbahasa Inggeris? Pada pandangan saya, jika seseorang graduan itu kurang menguasai BI, dia akan cenderung memilih jurusan yang kurang atau tidak menggunakan BI. Namun, apabila berada di dunia pekerjaan sebenar, ijazahnya 'tidak laku' kerana satu faktor iaitu penguasaan BI yang lemah manakala di tempat-tempat di mana ijazahnya mungkin laku pula, dia terpaksa bersaing dengan pemohon-pemohon lain.
Komen saya;
Graduan-graduan ini adalah mangsa-mangsa kaedah sistem pendidikan yang pada saya memang gagal. Niat hati hendak membentukkan bangsa dengan acuan sendiri tetapi acuan yang tidak berkualiti akan menghasilkan isi yang tidak berkualiti juga walaupun paras rupanya cantik.
When English teachers write in BM
Mungkin ada yang tertanya-tanya... Mengapa saya, guru BI tetapi buat blog dalam BM? Hehehe....berapa ramai yang boleh menulis pandangan dan buat komen dalam BI? Saya boleh menulis posting saya dalam BI tetapi berapa ramai pembaca yang boleh benar-benar faham isu dan pandangan yang saya kupas? Inilah hasil yang diperolehi oleh kita orang-orang bidayuh yang sering sahaja "yes, sir" , "ya..ya..betul..betul..encik.. Inilah hasil yang diperolehi oleh kita disebabkan oleh kegagalan beberapa kaedah yang digunapakai dalam sistem pendidikan kita setelah 30 tahun perlaksanaan kita.
Kita semua jadi robot-robot yang telah diprogramkan. Kita hanya boleh buat apa yang diarahkan. Kita hanya jadi penurut arahan. Kita jadi "graduan-graduan A" yang kekurangan kualiti! Kita jadi penganggur-penganggur terhormat, pekerja-pekerja bawahan, petani-petani mundur, kuli-kuli cina, pekerja-pekerja kilang di negeri orang dan entah apa lagi. Semua itu harus ada titik noktahnya. Semuanya perlu diubah, bukan untuk kita ketika ini tetapi untuk anak cucu kita.
Kita boleh menjadi apa sahaja yang kita mahu tetapi mula-mula kita harus ada ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi. Untuk mendapatkan ilmu dan kemahiran, kita perlu mencarinya di tempat yang betul, dan dengan cara yang betul. Di mana dan bagaimana? Itu kita usahakan sendiri. Jangan terlalu kerap bergantung dengan orang lain.

Thursday, March 12, 2009
PPSMI: DARI SUDUT PANDANGAN PERIBADI SAYA.
Malam tadi saya menonton satu rancangan perbincangan di Astro Awani mengenai isu PPSMI yang sedang hangat diperkatakan sekarang. Satu perbincangan yang elok jika dapat dibuat dalam satu tempoh masa yang lebih panjang agar lebih banyak perkara atau isu yang dapat dikupas dan dihayati bersama.
Selepas menonton rancangan itu, tergerak juga niat saya untuk memberi pandangan dan buah fikiran sekadar untuk dihayati bersama. Pandangan dan buah fikiran saya bukan mewakili mana-mana parti politik mahupun apa-apa pertubuhan. Semuanya adalah dari saya sendiri, berdasarkan pengalaman bekerja dan latarbelakang saya.
Sedikit latarbelakang saya terlebih dahulu sebelum saya menulis lebih lanjut. Saya seorang guru Bahasa Inggeris. Hanya berkelulusan Sijil Perguruan Asas sahaja. Pernah mengajar di pedalaman daerah Belaga dan Kapit di Sarawak selama hampir 10 tahun. Kini saya bertugas di daerah kelahiran saya iaitu Serian. Ini tahun ke-14 saya berkhidmat. Saya berusia 38 tahun dan sudah berkeluarga. Anak bongsu daripada 8 orang adik beradik. Ibubapa saya petani dan buta huruf! Dari sudut pendidikan, saya merupakan generasi kedua menggunakan BM sebagai bahasa pengantar di sekolah.
Bersekolah setakat SPM sahaja. Gred BM saya lingkup (7) dalam SPM tetapi dapat (1) untuk BI. Saya masuk maktab menggunakan kelulusan BI, dan hanya dapat BM(5) selepas ambil July Paper.
Jika ada pendapat yang mengatakan bahawa anak-anak di desa atau pedalaman gagal menguasai PPSMI kerana ibubapa tidak berkomunikasi dalam BI di rumah. Saya rasa itu alasan yang tidak benar-benar kukuh dan berasas. Ibubapa saya bukan sahaja tidak bertutur dalam BI, mereka BUTA HURUF! Namun mengapa saya boleh berjaya menjadi seorang guru BI? Bagi saya, anak-anak terlebih dahulu harus ada minat untuk belajar apa sahaja (termasuk menguasai BI). Ini sangat penting. Tugas memberi kesedaran akan kepentingan sesuatu perkara (subjek) itu harus sama-sama dipikul oleh ibubapa(di rumah) dan guru-guru(di sekolah), dan ia harus berterusan. Jika PPSMI itu diajar dalam BM pun, tidak semestinya anak-anak kita akan berjaya. Saya contohnya, bekas pelajar aliran sains tetapi saya langsung tidak berjaya dalam Matematik dan Sains tetapi meyerlah dalam BI dan Pendidikan Seni! Semuanya kerana minat! Saya tidak berminat dengan aliran sains tetapi ‘dipaksa’ duduk dalam kelas aliran sains meskipun saya pernah memohon bertukar ke aliran sastera. Alasan yang diberikan oleh Penolong Kanan ketika itu ialah “Pelajar Aliran Sains tidak cukup orang”!
Kemudian ada juga pendapat yang menyatakan bahawa bangsa Jepun, Korea dan China berjaya membangunkan bangsa mereka dalam semua bidang dengan bahasa ibunda mereka. Itu betul. Tiada yang mempertikaikannya. Namun, umum mengetahui bahawa BM baru sahaja berumur 30 tahun! Bangsa-bangsa itu pula telah menggunakan bahasa mereka sejak beratus-ratus tahun, mungkin juga beribu-ribu tahun. Saya bukan pakar sejarah atau bahasa tetapi bayangkanlah betapa mereka sudah jauh kaya dengan istilah-istilah di dalam bahasa mereka yang telah dan akan mereka gunakan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan untuk memajukan diri dan bangsa mereka. Ketika moyang kita berperang menggunakan lembing dan tombak, orang cina sudah ada bahan letupan! Ketika pejuang-pejuang kita meminjam senjata British untuk berperang, Jepun melanggar kita dengan kapal perang dan kapalterbang mereka!
Di Jepun, hanya ada bangsa Jepun. Di Korea, ada bangsa Korea. Di Malaysia, rakyatnya berbilang kaum yang mempunyai bahasa serta agama yang berbeza. BM dirasmikan menjadi bahasa rasmi. Ianya berjaya, dituturkan oleh rakyat Malaysia dan digunakan untuk urusan rasmi kerajaan. Namun, apabila anak-anak, cucu-cucu rakyat Malaysia itu hendak menjadi doktor perubatan, jurutera, saintis, wartawan, duta dan sebagainya, mereka menggunakan BI. Mengapa tidak BM? Jawapannya mudah iaitu BI bukan setakat bahasa yang dituturkan tetapi ia adalah bahasa ilmu yang mengandungi istilah-istilah perlu diketahui dan dikuasai oleh mereka yang tidak terdapat dalam BM.
Saya bukan berniat untuk menjatuhkan BM tetapi saya berpendapat bahawa BM kita sangat miskin dengan istilah. Istilah sangat penting dalam kita mahu menyampaikan ilmu. Istilah boleh dicipta dan dipinjam dari bahasa lain. Dipinjam atau tidak, itu bukan masalahnya tetapi semua istilah harus ada bagi apa-apa ilmu yang hendak disampaikan atau dipelajari. 30 tahun dahulu, pakar-pakar BM seharusnya telah mula memperkayakan BM dengan istilah-istilahnya lebih-lebih lagi dalam bidang sains dan matematik. PPSMI baru berusia 6 tahun. Wajarkan ia dikira gagal jika dibandingkan dengan penggunaan BM selama 30 tahun? Jika PPSMI boleh dinilai menggunakan kuantiti, fakta dan kualiti, BM juga boleh dinilai begitu. Jika angka digunakan untuk melihat bilangan graduan universiti yang dihasilkan selama 30 tahun ini, jumlahnya memang ramai. Namun, saya juga boleh bertanya, apakah kualiti mereka? Media perdana seringkali menyiarkan permasalahan tentang begitu ramai sekali graduan yang menganggur. Mereka sukar mendapat pekerjaan yang sesuai dengan bidang dan kelulusan mereka, sehingga akhirnya ada yang setakat menjadi kerani atau pekerja kilang sahaja. Nak jadi setiausaha kanan pun tidak boleh kerana alasan yang diberikan majikan ialah setiausaha kanan perlu menguasai bahasa inggeris. Mengapa semua itu berlaku?
Pernah juga saya mendengar pendapat bahawa menguasai BM itu wajib dan menguasai BI adalah suatu kelebihan. Betul. Saya memang setuju. Menguasai BM untuk lulus peperiksaan, naik gaji dan urusan rasmi! Menguasai BI untuk dapat pendapatan lebih! Jika anda diberi pilihan, yang manakah anda pilih? Menguasai BM sahaja atau kedua-duanya sekali? Fikirkan sendiri...
Saya ingin sekali bertanya kepada pejuang-pejuang bahasa yang benar-benar mahu memertabatkan BM ini. Setelah 30 tahun, berapa banyak kemajuan dalam bidang sains, matematik dan teknologi yang telah dicapai menggunakan 100% BM, dan diiktiraf oleh dunia? Adakah kita sudah punya banyak teknologi penciptaan dan pembuatan yang 100% menggunakan BM dan diiktiraf oleh dunia? Pembedahan-pembedahan yang berjaya dilakukan oleh doktor-doktor di negara kita pula, adakah teknologi yang mereka gunakan dibangunkan 100% dengan BM? Di manakah pakar-pakar itu menuntut ilmu sebelum ini? Jika di luar negara, maka memang jelas negara kita belum mampu lagi menghasilkan pakar-pakar yang setaraf dengan pakar-pakar luar dengan acuan kita sendiri!
Kesimpulannya di sini ialah kita sudah jauh ketinggalan dalam hampir semua bidang berbanding dengan bangsa-bangsa maju lain di dunia ini. Sekarang bukan masanya untuk menunding jari atau meletakkan kesalahan pada bahasa atau mana-mana pihak. Sekarang bukan masanya untuk berdemo, turun ke jalanraya membahayakan diri sendiri. Semua orang harus sedar bahawa soal pendidikan atau menimba ilmu tidak patut dicampuri oleh politik. Semua pihak harus menggembleng tenaga untuk memastikan masa depan anak cucu kita tidak teraniaya dek perbuatan kita hari ini.
Sekarang ialah masanya untuk kita berusaha keras untuk menyaingi bangsa-bangsa lain. Untuk itu, kita perlukan ilmu pengetahuan. Bahasa apa yang digunakan, itu tidaklah begitu penting. Yang penting ialah ilmu pengetahuan itu sendiri yang akan kita gunakan untuk memajukan diri kita dan negara ini amnya. Sampai bila-bila pun BM tetap akan menjadi bahasa rasmi negara kita seperti dalam perlembagaan. Biarlah ia begitu disamping BI yang kita gunakan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan berhubung dengan dunia luar.
Suatu ketika nanti BM mungkin akan setaraf dengan bahasa-bahasa utama dunia tetapi rasanya bukan sekarang. Mungkin 100 tahun akan datang. Mungkin setelah negara kita MAJU dalam semua bidang, yang didasari oleh pakar-pakar bahasa yang memperkayakan BM, bangsa-bangsa luar akan datang ke negara kita, belajar BM demi untuk mendapatkan ilmu yang kita ada.
Buat masa ini, kita gunakan apa yang kita ada untuk mendapatkan ilmu pengetahuan terlebih dahulu. Majukan diri sendiri dan anak cucu kita dahulu walaupun perit. Pada waktu yang sama, pakar-pakar bahasa perlu bekerja keras memainkan peranan mereka memperkayakan bahasa rasmi. Sedikit demi sedikit, perubahan boleh dibuat untuk ‘menteknologi’ bahasa itu.

Subscribe to:
Posts (Atom)