Monday, March 23, 2009

PPSMI: DARI PANDANGAN SEORANG GURU-BHG 1.

PPSMI: DARI PANDANGAN SEORANG GURU-BHG 1. Oleh BidayuhBukar.

Dalam bahagian pertama posting ini saya akan mengutarakan pandangan saya sebagai sebagai seorang guru yang sememangnya berada di sekolah dan bersama dengan murid-murid setiap hari persekolahan. Pandangan yang saya utarakan akan lebih banyak berdasarkan kepada pengalaman bertugas dan situasi sebenar di sekolah-sekolah di mana saya pernah berkhidmat.

Saya tertarik kepada beberapa laporan yang pernah saya baca di internet tentang kajian-kajian yang telah dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan PPSMI. Ingin sekali saya bertanya bagaimanakah kajian itu dilakukan? Berapa tahunkah kajian itu telah dijalankan? Siapakah kumpulan sasarannya? Apakah indikator-indikator yang digunakan untuk menilai atau mengukur hasil kajian-kajian tersebut? Siapakah yang melakukan kajian-kajian tersebut dan di mana semua kajian itu dilakukan?

Saya memang yakin bahawa kuantiti dan angka tetap menjadi sebahagian daripada indikator-indikator yang digunakan untuk menilai atau mengukur PPSMI dalam kajian-kajian itu. Sekali lagi saya ingin bertanya, wajarkah kita semua mengukur prestasi anak-anak kita hanya dengan angka dan huruf? Adakah “A” itu benar-benar dapat menjamin masa depan anak-anak kita? Jika begitu, mengapa kita ada beribu-ribu graduan universiti yang menganggur? Adakah “D” yang diperolehi oleh anak-anak kita dalam PPSMI itu menunjukkan bahawa anak-anak kita telah gagal dalam hidupnya?

Berbalik kepada isu graduan-graduan yang menganggur itu, saya juga ingin bertanya; Mereka itu produk-produk dari sistem yang mana satu? Sistem yang bermula 30 tahun dahulu ataupun selepas PPSMI? Setahu saya, generasi pertama PPSMI (yang bermula dari Tahun 1) baru sahaja masuk ke Tingkatan 1. Saya sendiri adalah generasi pertama guru PPSMI. Jika diukur dan dibandingkan dengan tempoh perlaksanaan, “KEGAGALAN” yang manakah lebih buruk? 30 tahun atau 6 tahun? Untuk pengetahuan para pengkaji tersebut juga, generasi pertama PPSMI di sekolah saya sekarang telah berjaya membawa sekolah kami keluar daripada kategori SPR(Sekolah Pencapaian Rendah). Apakah itu? Kegagalan?? Peratusannya mungkin sedikit pada anggapan sesetengah pihak tetapi bagi kami, guru-guru yang telah bertungkus-lumus, guru-guru PPSMI yang dianggap ‘tidak berkualiti’ oleh sesetengah pihak, kejayaan itu sangat besar nilai dan ertinya.

Kejayaan itu adalah usaha kami dan saya tidak peduli apa yang orang lain kata tentangnya. Setidak-tidaknya ia menunjukkan bahawa kami telah berusaha sedaya upaya kami, tidak seperti mereka-mereka yang hanya tahu mengkritik tetapi 30 tahun telah mengalami kegagalan! Saya lebih menghormati guru-guru yang ‘speaking England’ tersekat-sekat di dalam kelas tetapi telah berusaha sedaya upaya mereka, daripada mereka-mereka yang hanya tahu duduk bersidang dan mengkaji ‘feedback’ yang belum benar-benar pasti ada kebenaran dan kesahihannya. Ada tak data-data dari SK Long Busang di daerah Belaga, Sarawak? Atau SK Long Banga di Baram? Kalau tidak ada, jangan kata bahawa kajian telah dibuat di seluruh negara! Apa yang dimaksudkan dengan seluruh negara itu? Tanah Melayu? Sarawak atau Sabah? Tidak lama dulu saya juga ada membaca berita di Malaysiakini.com di mana GMP mendakwa bahawa PIBG seluruh negara membantah PPSMI. Bagaimana mereka tahu? Sekali lagi, bahagian seluruh negara mana yang dimaksudkan? Setahu saya, PIBG di sekolah saya sendiri tidak pernah menyatakan yang pendirian menentang PPSMI jadi dakwaan GMP itu tidak berasas sama sekali.

Pada pandangan saya juga, tidak ada satu pun sistem pendidikan di dunia ini yang boleh mendakwa ianya 100% sempurna. Kelemahan-kelemahan tetap ada di sana sini, baik dalam sistem itu sendiri mahupun para pelaksananya. Mungkin setelah 30 tahun, setelah keadaan dunia kita berubah secara begitu drastik sekali, kerajaan pemerintah melihat perlunya ada perubahan di dalam beberapa aspek dalam sistem pendidikan. Sistem pendidikan seperti juga P&P di dalam bilik darjah harus fleksibel, boleh berubah mengikut situasi. 30 tahun merupakan suatu tempoh yang cukup lama dan setelah tempoh itu kita telah melihat kelemahannya seperti kes pengangguran graduan-graduan “A”. Jika kita sudah nampak kelemahannya setelah begitu banyak usaha dilakukan untuk mencegah atau setidak-tidak mengurangkan kelemahan itu, mengapa tidak kita cuba menggunakan kaedah lain. Kita bukannya menukar sistem tetapi kaedahnya. Sering kali kita sebagai ibubapa mengeluh apabila anak-anak kita tidak berjaya mendapatkan peluang membina kerjaya. Kita juga tidak lari daripada turut menyalahkan kelemahan-kelemahan sistem pendidikan negara kita. Namun apabila sistem itu hendak diperbaiki, kaedah-kaedah serta pendekatan baru diperkenalkan, kita juga mengkritik semua itu kononnya ia tidak berkesan walaupun sistem itu belum pun benar-benar terbukti gagal.

Mungkin ada pihak-pihak yang beranggapan bahawa PPSMI perlu dimansuhkan sebelum keadaan anak-anak didik kita menjadi parah. Baru 6 tahun sudah mahu dianggap akan parah?? Bagaimana mereka tahu? Belum pun ada graduan PPSMI yang keluar dari universiti itu menganggur, mereka sudah ‘melabelkan’ anak-anak mereka dan kaedah yang digunakan oleh sistem itu gagal? Tempoh 30 tahun lalu yang telah mengeluarkan produk-produk “A” yang begitu ramai menganggur itu apa pula? Kecemerlangan sistem pendidikan kita? Ada juga pihak yang mengatakan bahawa majikan-majikan sekarang ramai yang tidak mahu memberi peluang pekerjaaan kepada para graduan ini. Namun, wajarkah kita menyalahkan mereka apabila para graduan ini tidak memenuhi kualiti-kualiti pekerja seperti yang diperlukan oleh majikan-majikan tersebut?

Saya memang simpati dengan nasib yang dialami oleh produk-produk “A” ini, yang menjadi mangsa kepada kelemahan kaedah yang digunakan oleh sistem pendidikan negara kita sebelum ini. Namun, kita tidak boleh menyalahkan sistem itu bulat-bulat. Sistem itu tidak sempurna sepenuhnya seperti yang saya nyatakan tadi. Sekarang kita sudah ada kaedah yang lain. Ianya berbeza dan memang sukar untuk dilakukan setelah sekian lama kita bergelumang dan terbiasa dengan kaedah lama. Namun kesukaran itu tidak harus dijadikan sebagai halangan yang benar-benar tidak boleh dilepasi. Isu tidak menguasai bahasa tidak harus dijadikan sebagai alasan untuk tidak mahu berusaha lebih untuk menguasai ilmu.

Sebagai ibubapa, kita sememangnya inginkan yang terbaik untuk anak-anak kita lebih-lebih lagi dalam soal pendidikan, soal mendapatkan ilmu pengetahuan yang akan membentuk masa depan mereka. Namun kita juga harus sedar bahawa tidak semua keinginan kita atau apa yang kita lakukan itu baik untuk anak kita. Apa-apa keputusan yang kita buat dan anggap baik pada hari ini tidak semestinya akan terus kekal baik dan sesuai untuk mereka di masa akan datang apabila kita sudah tiada lagi di dunia ini. Saya buat satu contoh; Jika ibubapa saya dahulu berkeras mahu saya bekerja dengan mereka di sawah, belajar menanam padi hanya dengan pengetahuan lama yang saya perolehi daripada mereka, saya mungkin akan kekal sebagai seorang petani yang dapat hasil cukup-cukup makan sahaja pada waktu ini, di ketika petani-petani lain mengaut hasil yang jauh lebih baik berkat daripada ilmu pengetahuan baru yang mereka dapat di sekolah atau tempat-tempat lain.

Cuba fahami contoh situasi ini; Daripada kita membeli kapalselam, mengapa tidak kita menghantar 10,000 atau 50,000 anak bangsa kita belajar ilmu kejuruteraan untuk membina kapalselam tidak kira di mana tempatnya? Jika mereka berjaya, kita bukan sahaja dapat membina satu kapalselam malah lebih daripada itu. Sampai bila petani-petani kita perlu berbelanja dan berharap kepada traktor-traktor yang dibeli dari negara-negara luar? Mengapa tidak anak-anak petani itu yang bina sendiri traktor mereka? Malaysia tidak akan mampu ke tahap itu? Mengapa tidak?

Tanyalah anak-anak muda yang sedang menimba ilmu di luar sana tentang impian mereka, cita-cita mereka. Saya tidak terkejut jika ada ramai yang berimpian untuk menjadi saintis roket, jurutera dan pembina kapalselam, kapal pengangkut pesawat dan sebagainya. Kita tidak harus memperkecilkan impian mereka hanya kerana keadaan kita yang tidak mampu ketika ini. Kita yang tidak mampu ke mana-mana dengan tahap ilmu pengetahuan kita sendiri yang rendah ini tidak harus membiarkan anak-anak kita menjadi seperti kita juga. Kan begitu?