Tuesday, March 31, 2009

My School After 45 years...


Is this couragous or stupid?



This is the road that I have to go thru everyday to school!




PPSMI: DARI PANDANGAN SEORANG GURU-BHG 3. Oleh BidayuhBukar.

Saya memang bersetuju dengan PPSMI dengan alasan yang lebih berdasarkan kepada aspek keseimbangan penguasaan dua bahasa yang digunakan di sekolah di kalangan pelajar-pelajar iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Namun demikian, itu tidak bermakna saya bersetuju sepenuhnya tentang cara perlaksanaan PPSMI tersebut yang saya lihat sebagai tidak begitu sesuai dan tergesa-gesa. Saya pernah berbincang dan bertukar-tukar buah fikiran dengan rakan-rakan pendidik tentang perkara tersebut dan saya mendapati bahawa kebanyakkannya bersetuju dengan pandangan saya, malah ada yang menyuarakan tentang apa yang sepatutnya dilakukan oleh KPM sebelum melaksanakan PPSMI itu. Saya akan cuba menghuraikan pendapat serta pandangan saya termasuk juga yang datang daripada rakan-rakan pendidik saya di dalam posting kali ini.

Di peringkat awal sebelum perlaksanaan PPSMI, kajian dan kaji selidik secara menyeluruh seharusnya dijalankan terlebih dahulu meskipun ia akan memakan waktu bertahun-tahun terutama sekali di sekolah-sekolah kerana di situlah PPSMI akan dilaksanakan. Antara perkara yang perlu diberi fokus dalam kajian tersebut ialah bagaimana PPSMI boleh dilaksanakan di satu-satu sekolah mengikut lokasi sekolah tersebut. Apakah cara yang lebih praktikal? Ini penting kerana tidak semua sekolah mempunyai kemudahan infrastruktur yang mencukupi bagi melancarkan lagi perlaksanaan idea tersebut. Itu belum termasuk bilangan guru dan pelajar di sekolah tersebut. Itu juga belum termasuk kemampuan guru-guru dalam melaksanakan PPSMI.

Apa yang saya lihat berlaku dari mula ialah pembaziran begitu banyak waktu, tenaga, wang ringgit dan harta kerajaan sejak dari mula lagi. Permasalahan-permasalahan itu sebenarnya boleh dielakkan jika kajian mendalam memang telah dibuat. Mengapa tidak melatih terlebih dahulu 10,000 – 30,000 guru-guru PPSMI di institusi perguruan di seluruh negara sebagai permulaan? Lepas dapat ijazah, hantar mereka ke setiap sekolah mengikut bilangan yang sesuai berdasarkan maklumbalas daripada sekolah-sekolah. Apabila sudah berada di sekolah, guru-guru ini perlu membuat kajian tentang segala keperluan PPSMI masing-masing, berdasarkan situasi sekolah masing-masing. Ini pasti akan lebih menjimatkan banyak perkara. Pada waktu yang sama juga, ambil kemasukan baru ke institusi perguruan untuk menambah bilangan tenaga pengajar di setiap sekolah seluruh negara.

Ketika mula-mula dipanggil untuk menjalani kursus ETEMs dulu selama lebih kurang 3 minggu, saya dan peserta-peserta lain terpaksa meninggalkan sekolah dan kelas-kelas yang sedang diajar ketika itu. Bagi kami yang datang dari sekolah yang jauh di pendalaman, kami terpaksa bermalam di hotel untuk tempoh yang begitu lama. Bagi sekolah-sekolah yang mengalami kekurangan tenaga pengajar pula, ketiadaan guru-guru yang menjalani kursus memang membebankan pihak pentadbir sekolah. Apatah lagi jika guru-guru yang berkursus itu sedang mengajar kelas peperiksaan seperti Tahun 6 yang akan menduduki UPSR. Berkenaan tentang ETEMs pula, saya tidak begitu yakin bahawa kursus sedemikian yang begitu singkat dapat mempertingkatkan penguasaan BI oleh guru-guru tersebut sepenuhnya. ETEMs sebenarnya ialah untuk guru-guru yang bukan dari Pengajian Bahasa Inggeris, iaitu guru-guru sains dan matematik yang sebelumnya menggunakan BM dalam P&P mereka.

Situasi di atas diburukkan lagi dengan ‘penggabungan’ ICT dan subjek Sains dan Matematik. Niatnya memang baik iaitu ‘Intergrasi merentas Kurikulum’ atau mempelajari ilmu sains dan matematik menggunakan ICT tetapi perlaksanaannya sahaja yang kurang sesuai. ‘Penggabungan’ itu saya lihat lebih banyak mewujudkan ‘komplikasi’. Maksudnya begini, anak-anak kita turun ke sekolah untuk belajar ilmu sains dan matematik tetapi ‘terkekang’ kerana tidak mahir menggunakan ICT. P&P sepatutnya berpusat kepada murid tetapi bukan sahaja anak-anak yang bingung malah ramai guru-guru yang bingung juga bila berdepan dengan peralatan ICT dan cara penggunaannya! Kononnya hendak mengajar sains dan matematik tetapi masa P&P habis begitu sahaja, terkial-kial di depan komputer dan sebagainya.

Apa yang saya (dan mungkin juga guru-guru lain) tidak begitu jelas dulu ialah penekanan terhadap penggunaan ICT dalam PPSMI. Sewaktu kursus ETEMs pun tidak begitu ditegaskan atau dijelaskan tentang penggunaan teknologi ICT. Ketika itu, nak guna laptop pun saya tak reti sangat apatah lagi nak buat blog macam sekarang. Pengetahuan ICT yang ada pada saya sekarang ini sebenarnya saya usahakan sendiri, 90% daripadanya!

Saya juga masih ingat lagi sewaktu saya (generasi pertama guru-guru PPSMI) bertugas di sekolah lama saya di Bahagian Kapit ketika PPSMI mula dilancarkan di mana saya mendapati begitu banyak peralatan-peralatan ICT yang dibekalkan tidak sesuai digunakan di sekolah tersebut. Satu daripadanya ialah sebuah TV besar yang diangkut menggunakan perahu dan terpaksa diangkat oleh 4 orang lelaki dewasa! Apa perlunya TV sebesar itu sedangkan ia tidak boleh digunakan? Sekolah itu menggunakan janakuasa elektrik disel. Mana cukup untuk menghidupkan TV sebesar itu? Mengapa tidak hantar LCD dan projektor sahaja? Saya pernah mengutarakan permasalahan itu dan alasan yang diberikan ialah kontraktor tidak cukup bekalan! Ini pun satu hal juga! Kalau dah tahu kontraktor tak mampu, kenapa bagi tender pada mereka untuk membekalkan peralatan?

Permasalahannya bukan setakat dari aspek bekalan peralatan tetapi juga seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini iaitu dari aspek kemudahan infrastruktur sekolah. Di sekolah lama saya itu contohnya, saya sendiri terpaksa membaikpulih satu bilik kecil berukuran 10x12 kaki untuk dijadikan bilik sains dengan tulang empat kerat saya sendiri!

Apabila saya memikirkan kekangan, permasalahan, kerenah birokrasi dan entah apa lagi yang telah dan terpaksa dihadapi oleh guru-guru, secara jujurnya saya memang bengang! Kami dituntut oleh semua pihak termasuk KPM sendiri agar komited dengan tugas dan tanggungjawab kami. Kami dituntut untuk menghasilkan pelajar-pelajar yang berkualiti tetapi pada waktu yang sama dedikasi kami dikekang oleh begitu banyak kekangan yang kebanyakannya boleh diatasi seperti kerenah birokrasi! Sesiapa pun tahu bahawa untuk mendapatkan produk-produk berkualiti seseorang perlu membayar dengan harga yang tinggi. Apa yang berlaku sekarang ialah sepertinya kami ini dituntut untuk membina sebuah kereta nasional dengan batang-batang buluh, dengan parang dan pisau di dalam sebuah pondok kayu yang usang!

Cuba kita fahami situasi di banyak sekolah ketika ini. Cuba lihat di pejabat-pejabatnya, di dalam peti-peti keselamatan atau di bilik penyimpanan khas, kita akan melihat begitu banyak peralatan ICT seperti hardware dan software samada yang rosak atau tidak disimpan di situ. Mengapa tidak digunakan? Adakah guru-guru boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana tidak memaksimumkan penggunaan peralatan-peralatan tersebut? Macamana nak guna komputer yang penuh dengan virus dan program anti-virusnya sudah luput tarikh? Itu belum lagi termasuk komputer-komputer yang rosak dan tidak dapat dibaiki dengan alasan tiada peruntukan daripada kementerian. Perisian-perisian P&P bersepah di sana-sini dan tidak digunakan, bukan sahaja kerana komputer banyak yang tidak berfungsi dengan baik tetapi perisian-perisian tersebut juga banyak yang tidak begitu sesuai dengan tajuk P&P, tidak sesuai dengan kemampuan murid dan kualitinya pulak teruk!

Kemudian, timbul pula idea penggunaan internet di sekolah samada untuk tujuan P&P mahupun urusan pentadbiran sekolah. Program-program seperti vsat, schoolnet dan eduwebtv merupakan beberapa contoh program yang ada ketika ini. Jika kita bertanya kepada sesiapa sahaja ketika ini, saya yakin bahawa sebahagian besar memang mengakui internet memang diperlukan. Jika kita tanya orang-orang yang tinggal nun jauh di hulu sungai pun mereka akan mengakui betapa perlunya internet terutama sekali di sekolah-sekolah mereka. Namun adakah ianya benar praktikal dan boleh dilaksanakan di semua sekolah? Di sekolah saya sekarang contohnya, ada teknologi vsat. Ada piring besar di luar PSS tetapi ia berdiri di situ hanya sebagai satu objek untuk tatapan umum, menjadi sebahagian daripada infrastruktur sekolah. Di sekolah isteri saya pula kononnya ada MySchoolNet. Keadaannya juga serupa, piringnya berdiri sebagai satu objek tatapan umum. Saya yakin bahawa situasi “Projek Gajah Putih” seperti yang ada di sekolah saya sekarang turut berlaku di banyak sekolah lain di seluruh negara.

Saya berpendapat bahawa idea penggunaan internet memang bagus tetapi ia tetap perlu dikaji dengan lebih mendalam. Umum tahu bahawa perlaksanaan idea tersebut memang akan melibatkan perbelanjaan berbilion ringgit dan ini sememangnya satu peluang keemasan bagi pihak-pihak tertentu untuk mengaut keuntungan wang ringgit melalui tender-tender kontrak.

Saya mempunyai beberapa cadangan dan saranan untuk KPM;

Wujudkan atau banyakkan lagi jawatan juruteknik komputer yang juga layak menjadi guru ICT serta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa sahaja yang berkaitan dengan ICT di semua sekolah termasuk yang diluar bandar dan pedalaman. Jangan lantik guru-guru biasa yang tidak mempunyai kepakaran dan memang sudah terbeban sehingga nak bongkok tiga dengan beban tugas yang sedia ada. Biar kami tumpukan perhatian sepenuhnya terhadap ‘core business’ kami iaitu mengajar.

Perbaiki dan tambah kemudahan infrastruktur di semua sekolah terutama sekali yang di luar bandar dan pedalaman.

Berikan kebebasan atau kuasa kepada pihak pentadbiran sekolah untuk menentukan segala yang mereka perlukan mengikut situasi sekolah masing-masing. Contohnya; biar sekolah yang membuat urusan atau tawaran tender terbuka kepada pembekal mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh KPM. Pihak sekolah akan membayar terus kepada kontraktor menggunakan dana kerajaan yang telah diperuntukkan. Namun begitu, pihak sekolah tidak berkuasa untuk menentukan atau mengubah dasar-dasar pendidikan yang telah ditetapkan oleh KPM. Ini sudah pasti dapat mengelakkan atau setidak-tidaknya mengurangkan kerenah birokrasi dan penyelewengan dana yang disediakan oleh kerajaan.

Hentikan atau kurangkan guru ‘bidan terjun’ seperti guru-guru KPLI atau yang sejenisnya di masa hadapan. Apa yang saya sering lihat sekarang ialah pengambilan graduan-graduan yang tidak mendapat peluang pekerjaan selepas tamat tempoh pengajian mereka sebagai guru. Untuk menjadi guru seseorang bukan sahaja perlu diberi latihan yang khusus di dalam bidang tugas mereka lebih-lebih lagi subjek yang akan diajar olehnya. Pengalaman juga turut menyumbang kepada kejayaannya sebagai pendidik. Kebiasaannya graduan-graduan itu akan mengajar subjek yang tidak berkaitan dengan ijazah mereka!