Tuesday, April 7, 2009

Kenapa banyak intelektual wanita bidayuh memilih lelaki melayu sebagai pasangan hidup?

Persoalan di atas hanya dapat dijawab oleh golongan yang berkenaan. Walau bagaimanapun, saya akan cuba untuk menjawab persoalan itu melalui perspektif saya sebagai seorang intelektual wanita Bidayuh.Untuk makluman para pembaca, saya belum lagi berumahtangga dan pada masa ini saya sedang bertugas sebagai seorang Pembantu Penyelidik di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sementara menunggu permohonan bagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana (Master) saya diluluskan.

Memandangkan saya merupakan generasi muda Bidayuh yang berusia 20-an, saya sangat terdedah dengan banyak isu yang melanda generasi seusia saya.Dalam isu ini, golongan intelektual wanita Bidayuh tidak sepatutnya dipersalahkan. Mereka telah terperangkap dalam banyak situasi dan berada dalam banyak dilema. Di sini, saya tegaskan bahawa lelaki Bidayuh itu sendiri patut dipersalahkan. Saya ada banyak hujah untuk mempersalahkan lelaki Bidayuh. Salah satu kesilapan besar lelaki Bidayuh adalah tahap pendidikan mereka.Menurut kajian yang telah dijalankan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM), kini, 65% pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) adalah terdiri daripada wanita, saya sendiri menyedari akan hakikat ini. Ke mana perginya lelaki? Melalui pemerhatian saya, baki yang 35% itu, kebanyakannya terdiri daripada lelaki Melayu, Cina, dan India, lelaki Dayak atau lelaki Bidayuh bilangan mereka mampu dikira dengan jari. Dalam UNIMAS sendiri, adalah sukar bagi saya untuk terjumpa dengan lelaki Bidayuh.

Tahun berganti tahun, bilangan lelaki Bidayuh semakin berkurang di IPT. Berbeza pula keadaannya dengan wanita Bidayuh, bilangan mereka adalah sangat banyak di IPT.Ke mana hilangnya lelaki Bidayuh? Majoriti masyarakat Bidayuh tinggal di kawasan luar bandar, di kampung misalnya. Saya telah melawat ke banyak kampung Bidayuh di sekitar daerah Bau, sambil makan angin, saya juga memerhati corak kehidupan masyarakat kampung tersebut. Kampung memang sinonim dengan golongan tua pada masa dahulu, tetapi kini, keadaan itu telah berubah di mana golongan lelaki muda Bidayuh turut merupakan antara penduduk terbanyak di kampung-kampung, manakala golongan wanita muda Bidayuh pula kurang.Statistik secara kasar menunjukkan majoriti lelaki Bidayuh hanya melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja, ada pula yang telah menamatkan pelajaran mereka sebelum sampai di peringkat itu. Ke mana hala tuju mereka selepas itu?

Kebanyakan daripada mereka menjadi ahli PPB (Persatuan Penganggur Bersatu) seperti kata lelaki-lelaki Bidayuh di Bau. Jika mereka tidak menganggotai PPB, mereka akan berhijrah ke bandar untuk bekerja sebagai buruh kasar. Ahli-ahli PPB ini pula sememangnya setia dengan persatuan dan ahli-ahli yang lain. Boleh dikatakan hampir tiap-tiap hari mereka mengadakan mesyuarat, mesyuarat dalam erti kata melepak. Melepak sambil berbual-bual kosong. Jika tidak melepak, mereka akan beramai-ramai masuk ke hutan untuk memancing atau memburu. Satu perkara yang telah membuatkan saya tabik kepada ahli-ahli PPB adalah mereka tidak terjebak dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.Di samping itu, 2 masalah yang telah sekian lama menjadi duri dalam daging adalah aktiviti merokok dan meminum alkohol. 2 aktiviti ini memang telah menjadi aktiviti wajib bagi mereka yang bergelar ahli PPB dan mereka yang bekerja sebagai buruh kasar. Kita semua sedia maklum bahawa harga rokok dan alkohol semakin naik, walaupun sedemikian, mereka masih mampu juga untuk memilikinya. Rokok sebagai contoh, dalam 5 orang kawan, apabila 4 daripadanya tidak mempunyai rokok, tetapi yang seorang lagi mempunyainya, maka yang seorang ini akan berkongsi rokok tersebut dengan 4 orang kawan itu. Jika tidak berkongsi sekotak, mereka akan berkongsi sebatang, 4 orang kawan itu tadi tidak akan melupakan jasa kawan yang seorang ini dan mereka pasti akan membalasnya dengan situasi yang sama. Bagi alkohol pula, mereka akan “collect” duit untuk membelinya jika tidak di “sponsor” oleh mana-mana kawan.

Satu lagi aktiviti lelaki-lelaki muda Bidayuh adalah mereka gemar untuk bersiar-siar menggunakan motosikal pada waktu petang. Hari-hari mereka dihabiskan begitu sahaja dan kehidupan mereka boleh dikatakan sangat selamba, mereka tidak pernah memikirkan hala tuju masa depan mereka. Lelaki Bidayuh bukanlah pemalas, mereka hanya tidak prihatin dengan diri mereka, mereka tidak mahu berusaha untuk memajukan diri mereka, dan salah satu cara untuk memajukan diri adalah melalui penguasaan dalam ilmu pengetahuan.Begitukah sikap lelaki Bidayuh yang kita sebagai wanita Bidayuh akan pilih untuk dijadikan sebagai pasangan hidup? Saya dapat merasakan sudah tentu banyak wanita Bidayuh yang akan mengatakan tidak. Saya sangat mengambil-berat tentang isu ini kerana ia adalah masalah kita bersama. Saya ingin melihat lelaki-lelaki Bidayuh bangkit semula untuk menyelamatkan maruah mereka.Oleh itu, tidak hairanlah jika banyak intelektual wanita Bidayuh telah memilih lelaki Melayu sebagai pasangan hidup mereka kerana banyak lelaki Melayu yang setaraf tahap pendidikannya dengan mereka berbanding lelaki Bidayuh. Jalan ini telah dipilih untuk menyelamatkan maruah golongan intelektual wanita Bidayuh jika mereka tidak mahu dipandang serong oleh masyarakat sekeliling, sama ada dikatakan memiliki suami yang berpangkat rendah atau dipanggil anak dara tua.

Posting di atas boleh dibaca di laman ini: http://86generation.blogspot.com/2009/01/kenapa-banyak-intelektual-wanita.html
BN wins in Batang Ai. Well, the people of Batang Ai have made up their minds and voted for BN after all the sufferings that they have gone through all these years. That was their choices. BGB says good luck to them all. Lets see what will happen in the future to the people of Batang Ai. If it happens that history repeats itself again and the people continues to suffer, BGB says "Serves you right! You asked for it!