Sunday, April 26, 2009

INI JAWAPAN SAYA!

Blog saya ini baru sahaja beroperasi tetapi sudah ada suara-suara yang kurang bersetuju dengan apa yang saya paparkan di sini. Ada juga suara yang kononnya bimbang jika ada pihak-pihak yang tidak senang dengan apa yang saya tulis. (Komen-komennya tak sesuai untuk disiarkan!)

Terima kasih di atas segala pandangan, pendapat serta nasihat daripada anda semua. Biar saya jawab kesemuanya dengan sejelas-jelasnya.

Ini adalah blog saya, yang saya bina dengan pengetahuan saya yang cetek tentang dunia IT. Ini tempat saya meluahkan pendapat dan pandangan saya. Satu daripada harapan saya ialah melakukan atau menyumbang sesuatu untuk masyarakat saya. Saya tidak memerlukan pandangan atau pendapat orang lain tentang bagaimana saya harus ‘bercakap’ di dalam blog saya. Jika itu yang berlaku, dan saya menulis mengikut apa yang orang lain mahu, maka blog ini akan menjadi blog orang-orang itu!

Ini bukan blog politik! Saya bukan orang politik dan saya tidak mahu bermimpi untuk jadi orang politik. Mungkin ada yang beranggapan bahawa sebagai seorang guru, saya tidak harus mengkritik orang kerajaan. Saudara-saudari, saya bekerja untuk rakyat! Rakyat yang membayar gaji saya dan saya akan bekerja bersama-sama dengan mana-mana kerajaan pemerintah tidak kira sama ada kerajaan BN atau kerajaan lain yang memerintah negara ini. Saya bukan mengkritik kerajaan tetapi saya hanya akan mengkritik mana-mana individu yang tidak bersungguh-sungguh menjalankan kewajipan dan tanggungjawabnya terhadap bangsanya sendiri!

Saya berusia 38 tahun dan selama tempoh itu, saya membesar sebagai seorang yang miskin dan hina. Saya telah berusaha untuk tidak merungut kerana saya telah memahami dan menerima keadaan diri saya seadanya. Namun, saya masih merasa tidak berpuas hati apabila memerhati keadaan sekeliling dan melihat sebahagian besar anak bangsa saya masih hidup di takuk lama dan punya mentaliti yang jauh ketinggalan dari bangsa-bangsa lain.

Moyang kita dari Tembawang, Indonesia suatu ketika dahulu punya keinginan dan semangat yang kental, sanggup berhijrah beratus-ratus batu jauhnya untuk mencari kehidupan yang jauh lebih baik. Kemudian mereka juga terpaksa berjuang untuk mempertahankan diri mereka daripada semua ancaman. Mengapa kita tidak punya semangat dan mentaliti seperti itu sekarang? Apakah kita patut berpuas hati setakat ini sahaja? Mengapa apabila kita semua kehilangan banyak hak-hak kita ketika ini, kita mula menunding jari dan meletakkan kesalahan pada pihak lain? Mengapa kita tidak mahu menerima hakikat bahawa sikap kita sendiri pada mulanya yang mengakibatkan diri kita kehilangan begitu banyak? Bukankah sikap kita sendiri yang menyebabkan kita tertindas selama ini?

Atas kesedaran inilah saya ingin berusaha untuk menimbulkan kesedaran yang sama di kalangan bangsa kita. Saya tidak mencadangkan agar kita semua pergi berperang menentang sesiapa sahaja. Saya cuma ingin kita semua bersatu semula sebagai satu bangsa, sama-sama berusaha untuk mempertahankan apa yang moyang kita tinggalkan untuk kita, atau cuba mendapatkan kembali apa yang sepatutnya menjadi hakmilik kita. Mana-mana individu atau pihak yang melakukan sesuatu yang bertujuan untuk kepentingan dirinya sendiri harus disingkirkan. Pihak-pihak ini berkeupayaan untuk memporak-perandakan dan membuat kita berperang sesama sendiri. Yang ruginya pula siapa?

Walau sekuat mana pun keinginan saya untuk melihat bangsa kita bersatu-padu, saya hanya seorang manusia kecil yang tidak punya kemampuan besar untuk melaksanakan segala keinginan saya. Namun begitu, kekurangan itu tidak akan mematahkan semangat saya untuk membuat sumbangan dan tanggungjawab saya. Blog ini merupakan salah satu medan untuk saya melakukan sesuatu. Walaupun ianya cuma satu sumbangan kecil, setidak-tidaknya saya sudah mula berusaha melakukan bahagian saya. Saya tidak mahu menjadi seperti mereka-mereka yang hanya tahu ‘cakap besar’ tentang perjuangan mereka untuk bangsa mereka tetapi setelah itu mereka hanya memikirkan tentang berapa banyak untung yang mereka boleh dapat daripada bangsa mereka sendiri! Hipokrit!

Jadi...kepada mereka-mereka yang tak suka dengan apa yang saya buat dan tulis di sini, baik tutup browser anda dan pergi buat kerja lain. Itu lebih baik.

No comments:

Post a Comment